Sunday, September 13, 2009

Forum Di Manakah Auratku

Pada14 Ogos lepas, satu forum bertajuk 'Di Manakah Auratku' telah diadakan di Dewan Kuliah 1 dan dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam CITU Sarawak dengan kerjasama Jatankuasa Perwakilan Masjid al-Qurawiyyin (JPMQ). Forum ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan di kalangan pelajar Muslim UiTM. Segalanya telah berjalan dengan lancarnya setelah kesemua perancangan telah diatur. Pada asalnya, program ini dijadikan sebagai sebahagian daripada program di bawah Kursus Kefahaman Islam (KKI) yang sepatutnya dijadualkan pada 14-16 Ogos, namun kursus ini telah ditangguhkan sekali lagi buat kali kedua berikutan penularan wabak H1N1 yang semakin kritikal.

Selesai bacaan doa, majlis dimulakan dengan persembahan nasyid oleh sebuah kumpulan nasyid dari UiTM sendiri. Kemudian, pelajar-pelajar akan disajikan dengan tayangan slide-show yang memaparkan cara sebenar dalam menutup aurat serta kesalahan yang dibuat oleh sesetengah orang berhubung isu aurat. Tayangan slide-show ini jelas telah menarik perhatian ratusan pelajar yang hadir pada forum ini.

Kemudian, forum dimulakan dengan Ustaz Illyas, pegawai agama UiTM sebagai modulator forum bagi mengendalikan forum ini. Dua orang panel telah dijemput ke forum ini, iaitu Ustaz Hasfa Bakri dari Jakim Sarawak serta Ustaz Tamri Arrin dari Hikmah Kota Samarahan. Antara isu-isu yang diketengahkan dalam forum ini adalah seperti masalah aurat, globalisasi masa kini serta isu berfesyen. Secara kesimpulannya, dapat kita huraikan bahawa berfesyen tidak salah di sisi Islam, tetapi batas aurat juga perlu dijaga.

Setelah tamat forum, pelajar-pelajar dipersembahkan sekali lagi dengan persembahan nasyid sebagai penutup tirai. Jelas ternyata bahawa forum ini telah dianggap berjaya pada keseluruhannya disamping berjaya menarik sebilangan pelajar menghadirinya. Di atas permintaan beberapa orang pelajar, kami di JPMQ telah berbincang untuk mengedarkan slide-show yang telah disiarkan pada hari tersebut kepada pelajar-pelajar UiTM. Insya Allah.